Tuesday, January 17, 2012
Tamadun Ini

Kelab-kelab berstatus mega adalah antara yang pertama untuk hanyut. Hanyut ditelan oleh pergelutan wang di meja lembaga pengarah. Sejarah hanya tinggal sejarah. Sejarah hebat bertukar busuk, lenyap dek hujanan wang ringgit.

Kemudian ombak mengambil stesen-stesen TV bersama. Ketiadaan kelab berstatus mega melenyapkan minat penyokong-penyokong berjiwa lemah dan sederhana.

Tamadun bolasepak kini semakin hampir menjadi jelmaan Tamadun Rom, merudum dan bakal pupus.

Lembaga pengarah dipecat satu-satu. Pemilik berstatus jutawan mengira hari untuk diusir. Keduanya dipijak oleh tekanan wang dan kejayaan segera.

Stadium umpama sebuah struktur yang terselamat selepas suatu perang besar. Serinya hilang, cahayanya malap dan kerusi-kerusinya ibarat sepohon kaktus di padang pasir.

Tamadun ini hancur. Tamadun ini lenyap.

*

Suatu hari, muncul seorang lelaki tua, berseluar pendek, berselipar dan memakai jersi sebuah kelab mega yang telah pupus, berjalan ke arah stadium yang dipenuhi semak samun dan najis pelbagai binatang.

Di tangannya ada sebilah sabit. Di belakangnya digantung sebatang penyapu. Di hatinya ada semangat yang pupus di hati orang lain.

Samun ditebas, najis disapu dan stadium yang usang bertukar menjadi baru. Berita ini disambut sahabat-sahabat lelaki tua itu dan bersama lelaki-lelaki tua yang lain, kelab dibangunkan semula.

Sejarah diceritakan semula kepada pemuda-pemuda dan anak-anak kecil. Kehebatan kelab dicanangkan ke serata dunia.

Api yang sama kelihatan pada lelaki tua dari kelab mega lain apabila mengetahui musuh mereka sudah bangun dari tidur.

Pemain-pemain yang kini menganggur diberi peluang untuk bermain dalam liga-liga kecil dan daif. Kali ini tiada apa yang dijanjikan selepas tamat 90 minit. Tiada wang dan ganjaran, yang ada hanyalah rasa puas dan senang hati.

Setiap perlawanan dinanti dengan penuh debaran dan semangat. Pemain bermain untuk maruah dan cinta kepada tamadun ini. Penyokong menyokong demi maruah dan cinta kepada tamadun ini. Tiada sebab lain.

Stadium diisi oleh sorakan penyokong yang dahagakan aksi, gerakan pemain, hantaran dan jaringan gol. Semuanya demi maruah dan cinta kepada tamadun ini. Tiada sebab lain.

Pengarah dan pemilik kelab diundi oleh penyokong setia. Penyokong diangkat menjadi raja dan bukan lagi komoditi. Pengarah dan pemilik bekerja untuk kesenangan penyokong dan pemain, bukan diri sendiri. Semuanya demi maruah dan cinta kepada tamadun ini. Tiada sebab lain.

Tamadun ini kembali dihormati.

Beliau mengelap air matanya menggunakan jersi kelab kesayangannya.

Lelaki tua tersenyum puas.
 
posted by Izham Ismail at 2:54 am | Permalink |