Aku sebenarnya fasih berbasa Melayu. Sebenarnya anda juga.
Semalam aku ke Borders mencari bahan bacaan. Kerusi disediakan tidak cukup menarik untuk aku duduk. Kerusi di rumah lebih baik. Tapi Borders dan rumahku bukan seinci dua. Aku capai kunci kereta.
Lapar aku makan nasi, lapar kereta makan minyak. Berderau darah Melayu aku bila teringat harga minyak yang baru diumumkan. Makin berderau bila meter aras minyak kereta tidak menyebelahi aku.
Harga minyak naik menggila. Collective conciousness biasanya akan buat rakyat tidak ke mana-mana. Aku tidak. Isi minyak pun ya, berbelanja pun ya. Aku buat semua bila orang kata itu ini tidak perlu. Aku mahu rasa sendiri, walaupun duit sendiri boleh dikira dengan jari. Ah takut apa, orang bergaji lima angka pun goyang bila kerajaan umum harga minyak naik. Mungkin sebab itu juga mereka kaya, mereka suka berjimat. Oh.
Mencabar juga rupanya untuk jadi diri sendiri. Pemimpin suruh aku ubah gaya hidup. Degil aku memecut dari Wangsa Maju ke Damansara. Patutlah mereka kata aku tak patriotik – sebab aku tak ikut cakap pemimpin. Tapi aku seorang sahaja kah yang perlu ikut cakap pemimpin? Mereka? Pemimpin juga perlu juga ikut cakap aku. Reciprocity itu perlu. Masakan aku mencarut seorang diri bila keretaku menjerit kesakitan akibat kualiti rendah jalan raya yang ku lalui. Lubang sana sini. Lopak merata rata. Nasib baik Hitz.fm setia menemani aku, mendengar rintihan aku. Mungkin Hitz.fm boleh bertanding pada pilihanraya nanti.
Hon dan maki hamun ibarat teh tarik dan roti canai di pagi hari. Saling memerlukan. Ini sikap tipikal pemandu di tanah tumpah darahku ini. Agresif itu perlu dalam membentuk bangsa cemerlang, aku tak nafikan. Tapi Hang Tuah masih bersopan santun walaupun sudah lali membunuh. Mungkin kerana harga keretaku hanya satu persepuluh harga kereta mereka, walaupun minyak diisi pada harga yang sama. Atau mungkin mereka ada urusan penting. Mungkin isteri mereka sedang sakit melahirkan anak. Mungkin. Kita mesti bersangka baik.
Mudah saja aku mendapat petak parking. Aku sendiri hairan. Mungkin nasibku baik hari ini.
Pilihan buku luas. Tapi belanjawanku tidak mesra rakyat. Aku memilih mana yang mampu. Hard cover hanya mimpi.
Tak kenal maka tak cinta. Aku biasanya ambil sedikit masa untuk jatuh cinta dengan pilihanku. Biasanya aku bercangkung, kalau tidak berdiri membelek buku pilihanku. Pada ketika itu juga biasanya mataku merayap ke sekeliling, memerhati gelagat rakyat sepertiku. Tapi semalam aku sedih. Sedih kerana Borders bukan destinasi pilihan bangsaku. Mungkin ini kesimpulan rambang, kataku. Aku bergerak dari shelf ke shelf untuk kepastian. Ya, boleh dikira dengan jari, sama seperti wang dalam dompetku. Ah, mungkin ini kawasan orang Cina agaknya, aku bingkas memberi alasan.
Aku membuang resit belian buku yang kini menjadi milikku. Aku lapar. Restoran makanan segera dan restoran-restoran elit lain memanggil-manggil namaku. Begitu juga kedai mamak tempatku menonton siaran langsung bolasepak. Aku memilih the latter, walaupun ia berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Jangan tanya kenapa. Aku hanya mahu menjadi diri sendiri.
Hujan turun sebaik sahaja aku hirup titisan terakhir teh tarik yang dipesan. Mee goreng mamak juga hanya tinggal limau nipis yang telah diperah. Aku bergerak pulang ke rumah, dengan beg plastik berisi bahan bacaan di tangan.
Masyarakat sekeliling mungkin tertanya-tanya mengapa aku duduk keseorangan bila remaja sebayaku bergelak ketawa di meja sebelah. Mungkin mereka patut tertanya-tanya kenapa mereka tertanya-tanya. Jangan salahkan takdir aku tidak seperti mereka - dan mereka tidak sepertiku.
Aku tau hidupku bukan fairy tale, tapi aku mahu bebas buat apa yang aku suka. Sebab apa? Sebab aku mahu jadi diri sendiri.
Aku tau aku tak sempurna. Tapi at least aku tau aku tak sempurna.
Aku percaya, ketaksempurnaan aku mungkin akan menyempurnakan bangsaku satu hari nanti. Insya Allah.
Aku ada buku perlu dibaca.
aku kadang kala juga minum sesorang sambil melihat rakan-rakan sebaya kita..berbelanja wang gaji yang entah seberapa..