Papa sayang sayang, sumpah.
Sejak sayang lahir, papa lelaki paling gembira dalam dunia. Papa bergaduh dengan boss papa sebab papa minta cuti setahun untuk jaga mama. Sikit lagi hendak bertumbuk, papa cakap papa sanggup cuti tanpa gaji, boss papa cakap no hal.
Papa senyap-senyap call Pak Long, minta pinjam dua tiga ribu buat belanja. Mula-mula bukan main dia punya melenting, tapi lama-lama cair juga dengan papa. Pak Long selamba sign cek kosong. Papa tak pernah beritahu mama yang makan minum dia selama dia sarat mengandung itu semua duit Pak Long.
Papa tak mahu mama risau. Papa mahu ada di sebelah mama masa sayang lahir. Papa tak mahu mama sakit seorang-seorang dalam labor room. Mama cakap labor room scary. Mama pegang tangan papa kuat-kuat sepanjang dalam labor room. Betul lah, labor room memang scary betul.
Tapi papa suka tengok muka mama kelam-kabut – cute gila. Mama cakap papa gila sebab tak serious dalam labor room. Dia marah papa. Sorry mama, papa just wants to cheer you up. Mama pegang tangan papa lagi kuat.
Papa ingat lagi masa papa azankan sayang. Papa tahu suara papa tak cukup tune masa itu, tapi sebab papa excited sangat, papa selamba sahaja azan. Bukan sekali papa azan, tapi dua kali – sebab doktor yang sambut sayang itu cakap papa miss dua tiga baris ayat.
Muka sayang cantik sangat, lagi cantik dari bulan. Kalau mama hidup lagi, sure dia jealous tengok muka sayang. Papa minta maaf sayang, papa tak dapat selamatkan mama. Tapi jangan risau okay sayang, mama cakap dia pun sayang sayang.
Sayang ada mata macam mama, cantik sangat. Galak macam Audrey Hepburn. Mama cakap dia tak suka kalau papa tenung mata dia, sebab nanti papa teringat dekat Audrey Hepburn lebih dari mama. Papa selalu tipu mama, papa cakap dia lagi cantik dari Audrey Hepburn. Papa confirm, dia sure senyum lepas itu.
Sayang macam mama, mama pun suka toast, marmalade dengan cheese masa breakfast. Tapi sayang macam papa, suka teh tarik. Tak macam mama, mama mengada sikit - selalu paksa papa buat cafe sua da, kopi Vietnam yang papa dengan mama kenal masa papa teman mama pergi Vietnam dulu. Tapi satu benda you guys share in common, mengada gila - mama dengan sayang memang suka breakfast atas katil. Papa paling tak suka kemas katil, lagi-lagi bila habuk roti bersepah.
One more thing, you all memang clumsy bila makan. Tapi cute lah – lagi-lagi bila ada makanan kat tepi bibir you all. Papa selalu buat-buat tak nampak, biar you all malu bila orang semua tengok. Masa itu lah papa all out punya gelak.
Papa ingat lagi masa first day sayang pergi sekolah. Sayang nervous gila malam sebelumnya. Sayang tak boleh tidur. Sayang suruh papa bacakan Jim Button and Luke the Engine Driver empat lima kali. Alamak potong betul lah sayang papa ini, Everton tengah rancak lawan Chelsea lah. Tak sampai dua kali papa baca sayang dah tidur. Geli papa tengok selimut pink sayang ini, papa tutup mata masa selimutkan sayang.
Papa miss Gianfranco Zola score sebab khayal tengok muka sayang. Tak apa, highlight ada. Esok pagi lepas hantar sayang pergi sekolah papa tengok, tak apa.
Terror kan papa ajar sayang iron baju. Tapi ikat tali kasut sahaja sayang tak master lagi sampai selalu terjatuh sebab terpijak tali kasut sendiri. Jalan elok-elok, nanti rosak rambut hime cut sayang itu. Eleh, macam Japanese princess konon. Papa tipu sahaja masa papa cakap rambut sayang cantik.
Have fun in school, sayang. Kalau ada budak lelaki kacau sayang, report papa. Nanti papa settle cara jantan dengan dia.
Eh ada sekali itu kan, ada classmate sayang jumpa papa sebab dia nak kawan dengan sayang. Sorry sayang, papa tak pernah beritahu sayang. Tapi papa respect gila budak lelaki itu. Papa dulu nak borak dengan mama pun kecut telur, ini pula confess depan atuk sayang yang garang gila itu. Tapi respect-respect pun, kencing dalam seluar juga budak itu masa papa cakap papa pernah bunuh orang.
Sayang selalu buat papa bangga. Papa mana tak bangga kalau sayang selalu dapat nombor satu dalam sekolah? Paling buat papa tambah sayang dekat sayang, sayang terror main piano. Setakat score Scott Joplin, sayang main tutup mata sahaja. Bukan macam papa, beli piano pun tak reti – sampai kena ajak Uncle Amir teman papa masa papa beli piano masa harijadi sayang dua tahun lepas.
Piano itu memang melentik, sebab every time sayang suruh papa buat something, papa mesti suruh sayang main dua tiga lagu dulu untuk papa in exchange. Tapi papa selalu tak bagi sayang nyanyi sekali sebab papa nak nyanyi seorang-seorang. Rugilah kalau ada suara macam Anuar Zain kalau tak Keabadian Cinta sepam dua.
Mama pun mesti bangga kalau dia tahu sayang terror main piano. Sebab dia suka sangat orang yang suka main piano. Papa tipu dia dulu, papa cakap papa terror main piano. Pasal itu lah papa dapat date dengan dia. Tapi haram pegang piano pun tak pernah. Mama mengamuk bila papa buat-buat pengsan bila pegang piano dekat satu kedai muzik dekat shopping complex papa dengan mama dating.
Everytime sayang ada problem di sekolah, sayang confirm menangis dalam kereta masa papa ambil. Masa itu papa mesti rasa terpaksa pasang lagu Britney Spears favourite sayang itu. Terangkat lah kononnya, menangis sambil dengar lagu favourite dia. Papa diam sahaja all the way sampai rumah. Papa tahu papa sure kena maki kalau cuba buat lawak.
Eleh konon boleh settle problem sendiri lah itu. Bila malam sudah gelap, perlahan-perlahan sayang masuk dalam selimut papa, menangis atas dada papa sampai tertidur. Habis basah baju Polo Ralph Lauren favourite papa.
Makin sayang besar, makin teringat papa dekat mama. Makin lama makin sama muka sayang dengan muka mama.
Sayang memang macam mama, terror ambil hati papa. Asal nampak papa lepak baca paper, sure datang bawak kopi lah, teh lah, biskut lah – paling tak boleh handle, datang urut. Lagi-lagi kalau malam sebelumnya papa main futsal. Paper, teh tarik dengan urut memang kena dengan kaki yang penat score malam tadi.
Mama pernah buat mega surprise masa birthday papa. Dia beli tiket Real Madrid lawan Barcelona untuk papa dengan dia. Seminggu papa dengan mama lepak dekat Spain, siap duduk tengok game dekat dengan director’s box lagi. Mama pilih tempat memang terbaik, papa relax sahaja boleh salam dengan Fernando Hierro, player favourite papa.
Lepas itu papa janji dekat mama, kalau Audrey Hepburn datang tak pakai baju depan papa minta cinta papa pun, papa buat tak layan sahaja.
Sayang pun sama, tahu sahaja lubang nak buat papa terangkat. Ingat tak hadiah yang sayang bagi masa birthday papa tahun lepas? Sayang jahit baju untuk papa. Tapi kenapa sayang jahit baju warna pink? Tapi nasib baik sayang tulis sayang sayang papa dekat belakang baju itu.
Lepas itu papa janji dekat sayang papa akan pakai baju itu pergi kerja esoknya. Sorry sayang, lepas hantar sayang pergi sekolah, papa tukar baju lain. Mana taknya, brader jual air dekat sekolah sayang itu sudah pandang slack dekat papa.
Esok birthday sayang. Papa nak make sure birthday kali ini sayang happy gila-gila okay. Kalau mama ada, mama sure boleh tolong dengan idea gila dia.
Kalau boleh papa nak beli piano paling mahal dalam dunia untuk sayang. Padan muka jiran sebelah hari-hari dengar sayang main piano.
Kalau boleh papa nak jemput Britney Spears datang rumah, suruh dia nyanyi lagu yang sayang main hari-hari. Sorry, Britney Spears sampai, papa terpaksa menyorok dalam bilik. Kan papa dah cakap, papa geli dengar lagu Britney Spears.
Kalau boleh papa nak beli baju yang paling cantik untuk sayang, kasi semua budak lelaki terliur. Kalau boleh sampai papa dia orang pun terliur sama.
Kalau boleh, papa nak tenung mata sayang dan peluk sayang kuat-kuat, sama kuat macam mama pegang tangan papa masa lahirkan sayang dulu.
Tak lama lagi matahari nak naik. Sayang tidur dulu ya, papa mahu pergi kerja. Kirim salam dekat mama.
Happy birthday, sayang.